Antara isi kandungan ucapan bekas Perdana Menteri Datuk Seri  Abdullah Hj Ahmad Badawi sewaktu membentangkan RMK9, beliau menyebut “  pembangunan sektor pertanian bukan hanya dapat menjana sumber  pertumbuhan ekonomi baru, malah dapat membantu usaha merapatkan jurang  sosioekonomi di dalam negara, sekaligus memenuhi agenda membasmi  kemiskinan. Dengan itu, kerajaan akan membangunkan program “pertanian  baru’ dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan nilai rantaian  serta meneroka aktiviti berasaskan pertanian yang mempunyai nilai tambah  yang tinggi, perladangan komersil berskala besar dan menggunakan ICT  serta memanfaatkan sepenuhnya potensi dalam bioteknologi”.
Sementara itu dalam ucapan perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2007, beliau  antara lain menyebut “ kerajaan akan berusaha memastikan berlakunya  satu transformasi, iaitu berlakunya penghijrahan daripada pertanian  tradisional kepada pertanian moden, pertanian yang menggunakan ICT dan  bioteknologi, dalam hasrat mendapatkan pulangan lebih besar terhadap  usaha-usaha yang dilaksanakan. Melalui pendekatan baru ini, barulah  sektor pertanian berupaya memberi impak secara langsung terhadap usaha  membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan”
Dua petikan ucapan Perdana Menteri di atas sudah cukup untuk  menggambarkan betapa kerajaan begitu serius untuk menjadikan pertanian  sebagai salah satu sumber ekonomi negara yang dapat menjamin  kegemilangan seluruh rakyat di negara ini. Namun begitu, satu perubahan  drastik perlu dilakukan dengan menggabungkan teknologi seperti ICT dan  bioteknologi dalam usaha melipatgandakan hasil pertanian negara
Pertanian di seluruh dunia pada masa kini telah bergerak pantas bagi  memaksimumkan pengeluaran dan penuaian hasil. Terkini ialah satu konsep  pertanian baru yang dikenali dengan pertanian tepat (precision  agriculture) telah diperkenalkan. Pertanian tepat yang juga dikenali  sebagai ‘pengurusan tapak ladang secara spesifik’ merujuk kepada  jaringan teknologi maklumat (ICT) yang digunakan dalam pertanian  komersil dan berskala besar. Teknologi pertanian tepat yang digunakan  termasuklah peralatan komputer, sistem pengawasan satelit, sistem  maklumat geografi, alat pemanduan arah automatik, peranti sensor tanpa  wayar kawalan jauh dan juga telekomunikasi.
Dalam membangunkan teknologi ini, MIMOS Berhad telah diberikan  tanggungjawab oleh kerajaan untuk membangunkan sensor pintar tanpa wayar  untuk kegunaan pertanian tepat menggunakan teknologi MEMS  (MicroElectroMechanicalSystems). Teknologi MEMS merujuk kepada proses  menghasilkan struktur mekanikal mikro atau pun mesin mikro yang dikenali  sebagai peranti yang diciptakan khusus untuk menjalankan sesuatu fungsi  dengan julat saiz beberapa milimeter sehingga mikrometer. Peranti yang  lebih kecil dari saiz mikrometer sehingga mencapai saiz nanometer  dikenali sebagai NanoElectroMechanical Systems (NEMS).
Sensor tanpa wayar MEMS untuk pertanian berfungsi sebagai alat peranti  pengukur tahap kelembapan, suhu, keasidan atau kealkalian sesuatu  kawasan tanah yang akan sedang dibangunkan untuk pertanian. Selain itu  ia juga dapat memberikan maklumat tepat tentang tahap kesuburan tanah  termasuk mengukur kandungan bahan nitrat, kalium dan fosfat di dalamnya.  Pengesan tanpa wayar MEMS tersebut berbentuk seperti pen yang  direkabentuk untuk ditanam di dalam tanah bagi mengesan keadaan tanah  tersebut dari segi keasidan, kealkalian, kandungan mineral dan  sebagainya. Maklumat ini sangat penting untuk petani-petani moden  sebelum mereka memulakan kegiatan pertanian yang terancang bagi  memperolehi hasil tuaian yang optimum. Dengan harga yang dijangka kurang  dari RM100 seunit berbanding dengan teknologi sedia ada yang menelan  kos sehingga RM2000-RM3000 seunit, ia dijangka akan menembusi pasaran  tidak lama lagi.
Menurut Ketua Penyelidikan Microsystem&MEMS Cluster, MIMOS Berhad,  Prof Dr Masuri Othman, satu set lengkap sensor MEMS bersaiz sebesar pen  dan komponen elektronik utamanya bersaiz mikro yang hanya boleh dilihat  di bawah mikroskop berkuasa tinggi. Teknologi hibrid yang digunakan  menggabungkan tiga peranti sensor utama iaitu sensor, elektronik dan  peranti tanpa wayar dengan gabungan beberapa teknologi lain seperti  maklumat geografi, ramalan cuaca dan kawalan tindakbalas. Selain  meningkatkan hasil keluaran ladang dan pengurusan penanaman yang lebih  baik, sensor ini juga dapat membantu petani mengurangkan impak cuaca ke  atas penanaman apabila peranti itu dapat memberikan isyarat kepada  petani apabila berlaku perubahan cuaca. Menurut beliau lagi, antara  isu-isu yang dihadapi oleh petani di Malaysia ialah tidak berkemampuan  untuk mengamalkan kaedah pertanian tepat dengan segala masalah-masalah  asas lain seperti kos yang tinggi, tapak ladang yang kurang sesuai dan  sebagainya yang dihadapi oleh mereka. MIMOS diberi tanggungjawab untuk  membangunkan suatu kaedah yang dapat mengurangkan kos dan pada masa yang  sama mampu memberikan pulangan yang lumayan lantas dapat meningkatkan  sosioekonomi para petani.
Dalam perkembangan teknologi pertanian, negara kita berada dalam  generasi keempat dengan menghasilkan sensor berskala kecil, lebih  praktikal, berharga murah, memiliki fungsi pengesanan serta mampu  berkomunikasi tanpa wayar untuk memberikan maklumat kepada petani untuk  tujuan pemprosesan dan kawalan. Sensor tanpa wayar ini diletakkan di  lokasi-lokasi strategik di kawasan tanaman dan ia berkomunikasi antara  satu sama lain memberikan maklumat dari masa ke semasa kepada petani  tanpa jalinan wayar yang berselirat.
Baru-baru ini MIMOS Berhad dan Institut Kejuruteraan Mikro&  Nanoelektronik (IMEN)  , Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah  menjalinkan kerjasama penyelidikan membangunkan teknologi sensor untuk  kegunaan pertanian tepat (precision agriculture) dalam usaha untuk  meningkatkan persaingan dalam bidang pertanian moden pada masa kini.  MIMOS akan bekerjasama dengan penyelidik UKM secara berterusan bagi  meningkatkan lagi inovasi dan ciptaan-ciptaan baru teknologi pertanian  bersesuaian dengan saranan dan hasrat kerajaan bagi meningkatkan hasil  pertanian negara khususnya di samping berusaha untuk mengatasi krisis  makanan dunia.
Senin, 14 Maret 2011
Langganan:
Posting Komentar (Atom)



0 komentar:
Posting Komentar